Menurut laporan akhbar tempatan baru-baru ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Jabatan Perumahan Negara akan membina 1,500 unit perumahan awam di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di lapan lokasi di seluruh Sarawak tahun ini dan ini adalah sebagai tambahan kepada projek-projek perumahan awam lain yang dijalankan di sini. "Dianggarkan 2,000 lebih unit akan dibina pada tahun depan," katanya pada sidang media ketika berbuka puasa dengan kakitangan dari Bomba Petra Jaya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini pada Selasa lalu.
Kita menyokong hasrat kerajaan untuk membina lebih banyak unit perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat, tetapi Sarawak mempunyai penduduk lebih dari 2 juta dan masih ramai lagi rakyat Sarawak yang berada dalam kategori miskin dan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri disebabkan kos dan harga rumah sekarang di Sarawak terlalu tinggi dan mahal.
Semasa PRU13 yang lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia tetapi apabila Barisan Nasional diberikan mandat selepas PRU13 semua janji tinggal janji. Sepatutnya kerajaan pusat perlu memberi keutamaan kepada Sarawak dan Sabah sebab tanpa sokong dan sumber hasil pendapatan dari Sabah dan Sarawak, kerajaan BN di peringkat pusat sukar dibentuk.
Kita mengesa kerajaan pusat menambahkan lagi peruntukan perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat Sarawak khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan sukar untuk memiliki rumah sendiri. Kebanyakan mereka ini tinggal bersama ibu bapa dan menyewa rumah atau mereka membina rumah di kawasan setinggan.
Jabatan Perumahan Negara sepatutnya membina sekurang-kurangnya 15,000 unit perumahan awam di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) setahun bukannya setakat 1,500 unit saja seperti yang diumumkan.
Dengan adanya kos perumahan awam yang sederhana dan murah, masalah setinggan dan mereka yang tidak memiliki rumah sendiri dapat diatasi dalam masa terdekat. Persaingan harga rumah swasta yang terlalu mahal pasti akan dapat diselaraskan dengan adanya kos perumahan awam mampu milik yang dimiliki oleh kebanyakan rakyat yang kurang berkemampuan.
Saranan kita kepada pihak kerajaan pusat ialah dengan menambahkan peruntukan perumahan kos mampu milik di bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dapat mengurangkan masalah rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri. Disebabkan perindustrian yang semakin rancak di bahagian Bintulu dan Miri menyebabkan harga rumah melambung tinggi disebabkan pemintaan dari pihak yang ingin menempatkan pekerja mereka yang tinggal di bandar-bandar tersebut.
Disebabkan projek perindustrian ini, ramai pekerja asing menyewa dan ada juga membeli rumah di negara ini dengan kadar tukaran wang asing, dimana matawang Malaysia adalah lebih rendah dan mereka mampu membeli rumah walaupun dengan harga yang tinggi dan yang menjadi mangsa dengan peningkatan harga rumah yang tinggi adalah rakyat tempatan yang kurang berkemampuan dan miskin.
Kita harap pihak kerajaan segera bertindak mengatasi masalah ini dari berlarutan, walaupun ianya menguntungkan satu pihak tapi rakyat sendiri jadi mangsa akibat sistem kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata bukan untuk kebajikan rakyat yang memerlukan tempat tinggal sendiri. Pihak kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada rakyat sendiri dulu sebelum memberi kemudahan kepada pelabur asing dengan membina lebih banyak perumahan awam kos rendah dan mampu milik khas untuk rakyat tempatan.
Syarat-syarat perumahan mampu milik hendaklah diberi kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik, bukan hanya untuk golongan tertentu saja seperti kroni, ahli keluarga dan mereka yang mempunyai kepentingan saja seperti golongan hartawan dan jutawan kerana mereka mampu memiliki rumah sendiri tanpa perlu bantuan pihak kerajaan.
Pihak kerajaan perlu mengetatkan syarat dan telus dalam memberi kemudahan kepada golongan yang memerlukan rumah itu supaya ianya tidak dijual kepada pihak ketiga untuk kepentingan sendiri setelah mereka berjaya memiliki rumah tersebut nanti. Syarat-syarat tersebut perlu dilaksanakan secara adil agar matlamat untuk memberi rumah kepada golongan sasaran mencapai objektif yang sebenarnya.
Kita mengesa pihak kerajaan dapat mengatasi masalah ini dengan segera agar rakyat Sarawak khususnya, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan yang semakin rancak ketika ini. Dengan adanya rumah mampu milik, kita yakin rakyat akan hidup dalam keadaan aman dan selesa dan masalah setinggan, gelandangan dan golongan miskin tegar di Sarawak dapat diatasi semaksima mungkin.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
....
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !